Home / Automotive / Program Bantuan Banjir Perodua – 1,675 pemilik beri respon; diskaun alat ganti 50%, kos upah percuma

Program Bantuan Banjir Perodua – 1,675 pemilik beri respon; diskaun alat ganti 50%, kos upah percuma

Perodua mengumumkan bahawa sehingga kini, sebanyak 1,675 pemilik kenderaan jenama tersebut telah pun memberikan respon terhadap Program Bantuan Banjir yang diperkenalkan pada 20 Disember lalu. Program tersebut dirangka bagi meringankankan beban pemilik-pemilik Perodua bagi memperbaiki kereta mereka yang terjejas akibat banjir besar yang berlaku di beberapa tempat dalam negara baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan, kesemua pemilik yang telah memberi respon berkenaan telahpun menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa di pusat-pusat servis Perodua seluruh negara. Menurut presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, program ini telah menarik banyak minat dari orang awam.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat insuran serta rakan-rakan kerjasama kami yang lain bagi mempercepatkan sebarang proses kelulusan yang diperlukan untuk memperbaiki dan merestorasi kenderaan yang rosak akibat banjir,” katanya.

“Kami faham bahawa kebanyakkan pelanggan kami bergantung kepada kenderaan Perodua mereka untuk aktiviti harian dan kami akan buat yang terbaik untuk membantu,” tambahnya lagi

Program ini pada awalnya hanya menawarkan diskaun 20% untuk alat ganti terpilih serta subsidi perkhidmatan tunda sehingga RM100. Namun pada 26 Disember, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa program tersebut ditambah baik dengan memberikan diskaun 50% untuk alat ganti bersama kos upah percuma.

Bagi pemilik Perodua yang mahu menyertai Program Bantuan Banjir Perodua ini, anda boleh menghubungi pengedar Perodua terdekat bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan terma dan syarat yang ditetapkan serta anggaran pembaikan yang perlu dilakukan.



Source link

Leave a Reply