Home / Automotive / VIDEO: PDRM utamakan VVIP berbanding ambulans?

VIDEO: PDRM utamakan VVIP berbanding ambulans?

Seperti yang kita ketahui baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang memperlihatkan pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghentikan pergerakan sebuah ambulans di satu persimpangan bagi memberikan laluan kepada konvoi yang membawa Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Kejadian tersebut berlaku pada 26 Disember 2021, semasa rombongan PM dalam perjalanan bagi melihat sendiri kerja­ kerja pembersihan dilaksanakan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat ke lokasi lain di Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 Hulu Langat dengan diiringi oleh polis trafik.

Walaupun Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM Selangor telah mengeluarkan kenyataan menerangkan langkah tersebut diambil berdasarkan penilaian awal yang telah dibuat bagi mengelakkan berlakunya kemalangan, ia masih tidak dapat meredakan api kemarahan netizen terhadap apa yang telah disaksikan.

Malah bukan sahaja pelbagai sindiran telah diberikan kepada PDRM seolah-olah mereka lebih mementingkan VVIP berbanding rakyat biasa, bahkan turut ada yang ‘mengorek’ video-video yang memaparkan bagaimana polis dari negara luar memberikan keutamaan kepada ambulans berbanding konvoi VIP.

Video yang anda lihat tempoh hari mungkin adalah salah satu dari banyak lagi video yang memperlihatkan bagaimana pasukan pengiring konvoi PDRM ini bekerja. Dan dua video yang kami paparkan kali ini adalah antara video yang memperlihatkan bagaimana pasukan pengiring PDRM ini memberikan keutamaan kepada ambulans berbanding konvoi VVIP yang mereka iring. Kedua-dua video ini juga masih baru, berlaku tak jauh beza dengan tarikh video yang tular tempoh hari.

Video pertama dimuatnaik oleh saluran YouTube teamESCORT999. Video yang dimuat naik pada 7 November 2021 berkenaan memaparkan aksi seorang pegawai pasukan pengiring Istana Negara yang bertugas untuk mengiringi konvoi VVIP yang membuat cleareance terlebih dahulu, bermula di Istana Negara, Kuala Lumpur hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

Pada minit 9:30, pegawai yang menunggang jentera Kawasaki GTR1400 berkenaan dilihat mengesan sebuah ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah di satu susur keluar. Setelah membuat penilaian keselamatan, pegawai tersebut dilihat membenarkan ambulans tersebut bergerak terlebih dahulu walaupun jalan berkenaan telah ditutup untuk laluan konvoi VVIP.

Dalam video ini juga anda boleh lihat betapa lajunya motosikal Kawasaki GTR1400 berkenaan ‘dipepah’ sepanjang lebuh raya MEX, dan mengapa pasukan pengiring Istana Negara ini memerlukan jentera seperti Volvo S90 T5 Momentum serta Honda Civic Type R FK8 untuk melakukan tugas tersebut.

Video kedua pula disiarkan oleh saluran YouTube Hafify Kadray, yang juga salah seorang anggota pasukan pengiring untuk Ketua Menteri Melaka. Video tersebut dimuat naik pada 2 Disember 2021 menunjukkan satu lagi rutin pekerjaannya, kali ini mengiringi YAB Datuk Seri Utama Dr. Haji Sulaiman bin Md Ali dari pejabatnya yang terletak di Jalan Seri Negeri ke Masjid Al-Azim yang teletak di Bukit Palah.

Pada minit ke 10:15 video berkenaan, konvoi VVIP tersebut bertemu dengan sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Melaka. Tanpa berlengah, Hafifi terus mengarahkan ambulans berkenaan bergerak terlebih dahulu sambil memperlahankan konvoi dan juga trafik di belakang.

Hafifi terus berada di belakang ambulans berkenaan sehingga ke minit 11:30, tetapi selepas itu dia memintas dan menyuruh ambulans tersebut mengekorinya sambil dia sendiri menyuraikan trafik yang agak sesak ketika itu agar pergerakan dapat dibuat lebih pantas. Malah Hafifi sempat berhadapan dengan sebuah Honda City yang dilihat agak degil dengan tidak memberikan laluan kepadanya dan ambulans di belakang.

Tindakan-tindakan yang dibuat oleh para pegawai yang bertugas ini jelas seperti apa yang disebut oleh Ketua JSPT Selangor Supt. Azman bin Shari’al tempoh hari yang menyatakan bahawa ketika dalam menjalankan penugasan trafik, jabatannya sentiasa memberi keutamaan laluan kepada kenderaan-kenderaan kecemasan, terutamanya bagi pihak ambulans dan bomba.

Jadi apa pendapat anda berkenaan dua video aksi pengiring PDRM ini? Kongsikannya pada ruang komen di bawah atau di laman sosial kami.



Source link

Leave a Reply