Home / Automotive / Touch ‘n Go RFID: Apa perlu anda tahu sebelum guna

Touch ‘n Go RFID: Apa perlu anda tahu sebelum guna

Bermula 15 Januari ini, Lebuhraya PLUS akan mula melaksanakan kutipan tol melalui Touch ‘n Go RFID bagi laluan utama Pulau Pinang-Johor. Kami telah membawakan banyak laporan berkaitan hal ini. Jika ada yang terlepas pandang, mungkin boleh mulakan dari artikel berkaitan pemahaman bagaimana RFID ini berfungsi terlebih dahulu.

Bagi yang masih baru dengan topik ini, dalam artikel ini kami ingin bawakan beberapa pertanyaan lazim yang akan membantu anda memahami lebih lanjut sistem bayaran tol terbaru ini — termasuk di mana untuk mendapatkan kit RFID, bagaimana cara memasangnya dengan betul serta perkara-perkara lain yang berkaitan. Teruskan membaca.

Ada pihak yang boleh pasangkan RFID ini untuk kereta saya?

Ya. Terdapat banyak pusat pemasangan RFID telah disediakan di Semenanjung yang boleh membantu anda memasang tag RFID berkenaan. Senarainya boleh diperoleh di sini, dan setiap pemasangan akan dikenakan kos RM35 bagi setiap tag RFID.

Boleh kalay saya nak pasang sendiri?

Mestilah boleh. Anda boleh beli kit pemasangan RFID dari aplikasi Touch ‘n Go eWallet atau dari kedai di stesen minyak Shell/BHP Petrol, Watson atau Lazada/Shopee pada harga yang sama RM35.

Semua kit berkenaan datang dengan panduan melalui kod QR serta langkah demi langkah bagaimana untuk memasang tag RFID berkenaan. Adalah lebih baik jika tag berkenaan dipasang di sebelah kiri kereta, sama ada di bahagian lampu depan atau cermin utama.

Sebab apa? Pengimbas RFID di plaza tol di sebelah yang sama. Jadi, kalau dipasang sebelah kanan kereta, palang tidak akan dibuka kerana pengimbas tidak dapat membaca tag RFID anda.

Lagi satu, tag itu perlu dilekatkan paling kurang dalam jarak 5 cm daripada bahagian logam untuk mengelak gangguan isyarat. maksudnya, jika di cermin depan, ia perlu dijauhkan sedikit dari bingkai logam pada tiang A dan juga bumbung. Juga pastikan ia tidak berada dalam laluan pengilap cermin anda. Untuk itu, lebih mudah juga sebenarnya untuk pasangkan tag berkenaan di bahagian lampu utama. Tag berkenaan juga tidak memerlukan kuasa luaran untuk berfungsi (tidak seperti SmartTAG). Ia menggunakan tenaga radio yang dipancarkan untuk diimbas.

Lepas dah pasang, nak buat apa?

Langkah berikutnya adalah untuk anda mengaktifkan tag RFID berkenaan. Ini boleh dilakukan melalui TnG RFID Portal atau aplikasi TnG eWallet. Prosesnya sama saja, memerlukan anda memasukkan nombor ID RFID berkenaan, maklumat kenderaan dan peribadi yang berkaitan.

Selesai itu, anda akan dimaklumkan melalui telefon dalam masa 24 jam bila tag RFID diaktifkan. Setiap tag akan dipautkan ke TnG eWallet, dan anda boleh memautkan lebih daripada satu tag kepadanya, dengan paparan untuk mengetahui setiap transaksi yang dilakukan serta maklumat lain.

Bayaran tol RFID dilakukan melalui eWallet, yang perlu ditambah nilai secara digital. Untuk berbuat demikian, mudah sahaja dan boleh menggunakan aplikasi itu sendiri melalui kad kredit, pindahan bank (Maybank2U, CIMB Clicks dll) atau TnG eWallet reload PIN. Anda tidak perlu lagi beratur di kaunter untuk ini, dan boleh juga di disetkan tambah nilai automatik jika ia sampai ke tahap minimum yang ditetapkan.

RFID diaktifkan, dan saya ada nilai wang dalam TnG eWallet. Macam mana nak guna di lebuhraya?

Bila semuanya sudah sedia, anda hanya perlu memandu macam biasa sahaja, menggunakan lorong yang ada tertulis RFID di tol lebuhraya. Tag anda akan diimbas dan caj tol yang dikenakan akan dipaparkan dan ditolak dari eWallet anda. Makluman juga akan dihantar ke telefon anda untuk transaksi yang terlibat.

Bergantung kepada sistem tol yang ada, anda akan dikenakan caj kadar tetap bagi sistem tol terbuka, atau berdasarkan jarak yang dilalui bagi sistem tol tertutup seperti Lebuhraya PLUS. RFID ini lebih ringkas, mudah dan pantas berbanding kaedah bayaran tol lain yang pernah digunakan sebelum ini.

Boleh saya pindahkan tag RFID ke kereta lain? Bagaimana kalau ia dicuri?

Tag RFID ini dikatakan kalis kotor, cuaca dan juga air. Ia juga akan berhenti berfungsi sekiranya dicabut selepas dilekatkan dalam pemasangan pertama. Maka, tidak timbul masalah tag RFID ini akan dicuri dengan maksud untuk digunakan di kereta lain. Ia perbuatan sia-sia.

Namun, jika berlaku situasi tag berkenaan hilang, hubungi TnG Careline atau layari RFID Portal untuk menggantung operasi tag berkenaan dan aturkan untuk unit gantiannya.

Macam mana kalau saya jual kereta yang siap dipasang dengan tag RFID?

Setiap tag RFID adalah unik untuk kereta yang ia didaftarkan. Jadi anda terlebih dahulu perlu membatalkan pautan atau kaitannya. Jika tidak, anda akan membuat amal kepada pemilik seterusnya untuk membayar tol mereka melalui akaun TnG eWallet anda. Tiada pampasan bagi bayaran tol yang telah dikenakan sekiranya pengguna gagal membatalkan tag RFID mereka terlebih dahulu.

Anda juga boleh membatalkan tag RFID dengan menghubungi TnG Careline atau melalui RFID Portal. Untuk ini, anda perlu memberikan maklumat peribadi untuk disahkan sebagai pengguna sahnya. Selepas semua itu disahkan pembatalannya, anda boleh memastikan sekali lagi melalui aplikasi eWallet sama ada kereta itu telah digugurkan dari akaun anda dan anda boleh terus mendaftar RFID baru untuk kereta baru anda.

Jika anda membeli kereta yang siap terpasang RFID pula, itu tidak akan berguna kerana ia kemungkinan besar telah dinyah-aktif. Anda perlu menanggalkan itu, dan menggantikannya dengan yang baru dan pautkan ke akaun anda.



Source link

Leave a Reply