Home / Automotive / Senator Ras Adiba gesa individu persenda OKU untuk dapat parkir istimewa di KL segera memohon maaf

Senator Ras Adiba gesa individu persenda OKU untuk dapat parkir istimewa di KL segera memohon maaf

Baru-baru ini, tular satu video dilaman sosial menunjukkan kelakuan kurang ajar dua lelaki – mereka bukan sahaja mengambil petak parkir khas untuk orang kurang upaya (OKU), malah turut berlakon dan mempersendakan golongan berkenaan bagi mendapatkan petak parkir di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur tersebut.

Perbuatan dua pemuda berkenaan telah mendapat perhatian presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan beliau menggesa kedua-dua individu tersebut agar segera memohon maaf kepada komuniti OKU.

“Kalian semua telah mempersenda dengan mempergunakan parkir OKU dan berlakon diri anda sebagai seorang OKU,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di akaun Facebook beliau semalam.

“Sudahlah (keadaan) kami susah, orang semua selalu memandang rendah terhadap kami, orang semua menggunakan kemudahan yang disediakan dan dikhaskan untuk kami.

“Kita semua akan menjadi OKU suatu hari nanti. Jangan sesekali kalian mempermain dan mempersendakan kami. Sila pohon maaf kepada komuniti OKU,” tambahnya lagi.

Dalam hantaran berkenaan, Ras Adiba turut memaparkan video aksi kurang ajar kedua-dua pemuda terbabit yang berkongsi cara mendapatkan parkir di pusat beli-belah dengan salah seorang daripada mereka berpura-pura menjadi OKU dengan berjalan dalam keadaan tidak sempurna.



Source link

Leave a Reply