Home / Automotive / GAC GS3 pasaran Malaysia adalah model pemanduan kanan pertama syarikat, 130 perubahan, CKD akan tiba

GAC GS3 pasaran Malaysia adalah model pemanduan kanan pertama syarikat, 130 perubahan, CKD akan tiba

Model GAC GS3 yang dilancarkan minggu lepas – tanda ketibaan pertama GAC Motor di Malaysia – sebenarnya adalah kereta pemanduan sebelah kanan (RHD) pertama jenama itu dan merupakan langkah penting mereka untuk masuk ke pasaran antarabangsa.

“Dalam memenuhi pelan lima tahun ke-13 China, GAC Group telah memperkenalkan strategi “1513” yang memberikan banyak penekanan kepada pasaran antarabangsa. Pelancaran GS3 RHD adalah satu pelaksanaan penting strategi ini, membantu meningkatkan lagi perniagaan antarabangsa dan mempromosi pembangunan kualiti tinggi,” kata GAC Motor.

Meskipun GS3 sekarang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, GAC memberitahu bahawa mereka mempunyai perancangan untuk “menggunakan kelebihan lima kilang yang dimiliki oleh Tan Chong Group di lima negara dalam ASEAN untuk mempercepatkan pengeluaran tempatan.” Ini adalah satu tanda jelas pengeluaran tempatan (CKD) kini berada dalam perancangan.

Kerjasama antara Tan Chong dengan Guangzhou Group bermula secara rasmi pada Disember 2020, apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian persefahaman untuk potensi jualan dan pemasangan kenderaan GAC di Malaysia dan Vietnam.

GS3 RHD pasaran Malaysia mungkin nampak sama seperti GAC Trumpchi GS3 facelift di China, tetapi GAC Motor memberitahu, terdapat banyak “perubahan perincian pada kereta yang sama ini” berbanding versi pemanduan sebelah kiri yang asal. Secara keseluruhannya, ia melibatkan 130 perubahan.

Selain bahagian yang boleh jelas dilihat seperti stereng dan pedal, perubahan lain adalah pada mekanisme penukar gear, mekanisme parkir, serta sistem brek dan stereng. Ciri ESP SUV itu juga telah dilaras semula dan tapak gearnya telah dioptimakan untuk pemanduan sebelah kanan.

GAC memberitahu, sistem infotainmen kereta ini juga telah dinaik taraf, membenarkan sambungan kepada telefon bimbit yang lebih lancar dan pantas. Kemudiannya, pelbagai sistem amaran keselamatan elektronik serta ukuran kelengkapan telah dilaras semula untuk mematuhi peraturan serta undang-undang tempatan.

“Langkah ini telah menambah pengkalan data produk serta penyelidikan peraturan keselamatan, yang sangat berguna untuk pembangunan model masa hadapan, serta rekaan yang telah terbukti. Pada masa hadapan, GAC Group berharap dapat mengeluarkan lebih banyak model untuk pasaran antarabangsa dan membawa kekuatan pengeluaran China kepada lebih banyak pelanggan,” kata GAC.

Dijual pada harga RM88,800 untuk varian Standard dan RM96,800 untuk Premium (tidak termasuk insurans), GS3 digerakkan oleh enjin 1.5 liter empat silinder NA (tanpa pengecas turbo) yang menjana 114 PS (113 hp) pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dari Aisin (FWD). Ini membolehkan ia mencapai pengunaan bahan api 6.9 l/100 km (14.5 km/l) mengikut kitaran NEDC.

Ia adalah sebuah SUV segmen B yang bersaiz hampir seperti Proton X50/Honda HR-V. Jika dibandingkan dengan kembar X50 jenama Geely, GS3 ini 28 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar, tetapi jarak rodanya lebih pendek 40 mm. Ruang simpanan di belakang adalah 356 liter, dan boleh bertambah menjadi 780 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Varian Standard diberikan rim aloi 17-inci bersama tayar 215/60R17, lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, upholsteri gabungan fabrik dan leatherette, mod pemanduan Eco, sistem pendingin hawa manual (dengan penapis udara kabin RM2.5), tempat duduk hadapan larasan manual serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan phone mirroring.

Pada bahagian keselamatan pula, ia menerima empat-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, kamera undur dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

Varian Premium pula menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus hadapan, cermin sisi lipatan berkuasa, antena sirip yu, kemasan hitam pada bumbung, rel bumbung dan cermin sisi, paparan instrumen dengan skrin LCD 3.5-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri leatherette penuh, perehat kepala untuk tempat duduk baris kedua serta enam beg udara.

Warisan Tan Chong Automotif memberikan jaminan lima tahun atau 150,000 km untuk GS3 ini dan ia datang sekali bersama upah servis percuma lima kali dalam masa tiga tahun atau 100,000 km. Anda boleh melihat kereta GAC di pusat pameran Tan Chong di Jalan Ipoh.

GALERI : GAC GS3 1.5L Premium

GALERI : GAC GS3 1.5L Standard



Source link

Leave a Reply